Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sudah menjadi amalan syarikat pembalakan untuk menghentikan aktiviti pada musim ini seawal bulan Oktober lagi biarpun tanpa arahan rasmi kerajaan melalui Jabatan Perhutanan negeri.

“Tahun ini kita belum keluarkan arahan tapi sebelum ini sudah ada di mana kita minta pembalak menghentikan aktiviti pada bulan November dan Disember.

“Dari pengalaman yang lepas, pembalak sendiri pun tidak buat kerja, biasanya dari Oktober lagi mereka mula perlahankan kerja kerana tidak boleh buat sebab hujan, kalau tak ada arahan sekali pun, kadang-kadang sehingga bulan Jamuari sebab bila hujan macam mana mahu tebang balak dan membawa hasil keluar apatah lagi dengan jalan yang pecah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Azizah pada Ahad lalu yang mahu Kelantan dan Terengganu mencontohi Pahang bagi mengelakkan tragedi buruk berlaku.

Dalam masa sama, Mohd. Amar berkata, semua pihak perlu sedar bahawa aktiviti pembalakan yang dijalankan diluluskan pada tahun 2013 dan selepas itu kelulusan kawasan untuk aktiviti tersebut dibekukan.

“Saya dengar kenyataan (Timbalan Perdana Menteri) pun saya tidak faham maksud, kita sudah bekukan penebangan balak ini pada tahun 2013, yang berjalan adalah kelulusan sebelumnya.

“Ada dua (peringkat) pertama adalah kelulusan dasar dan keduanya kelulusan lesen, kadang-kadang diluluskan secara dasar tetapi lesen dikeluarkan beberapa tahun selepas itu. Orang ingat bila ditebang balak kelulusan dibuat tahun yang sama sedangkan hampir semuanya dari kelulusan dua, tiga tahun lepas,” katanya. - UTUSAN ONLINE