Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku itu bertuah kerana para guru sekolah terbabit sepakat membantunya dengan menjemput dia ke sekolah setiap pagi dengan menaiki kereta mereka dan bersedia menghantarnya pulang ke rumah sepanjang UPSR berlangsung.

Guru Besar SK Cherang Ruku, Faxrurazi Nasir berkata, bapa kanak-kanak itu, Amran Awang yang berkhidmat di Markas Angkatan Tentera Malaysia di Kem Kementah, Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke Kelantan dan memohon ihsan pihak sekolah supaya membantu anaknya.

“Kami membantu berasaskan kepada konsep kebersamaan tanggungjawab para dan ibu bapa dalam memastikan keperluan murid dalam hal pendidikan dipenuhi. Bantuan ini juga sejajar dengan Program Penyayang yang dilaksanakan pihak SK Cherang Ruku,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengiringi Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Harun Yusof melawat pusat peperiksaan SK Cherang Ruku, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Harun meminta pihak pengurusan menyediakan meja lebih besar khusus untuk murid tersebut sepanjang UPSR ini bagi membolehkan dia menjawab soalan dalam keadaan lebih selesa.

Sepanjang berada di sekolah pula, Muhammad Arif Muizzudin bergerak menggunakan kerusi roda milik keluarga bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Cherang Ruku, Muhammad Ibrahim.

“Kita berterima kasih kepada Ayah Mat (Muhammad Ibrahim) kerana prihatin serta sanggup membawa kerusi roda keluarga sendiri demi keselesaan murid ini. Jasa beliau dalam PIBG SK Cherang Ruku yang mencecah hampir 30 tahun amat dihargai,” kata Faxrurazi.

Menurut Faxrurazi, antara pengorbanan lain dibuat para guru sekolah itu ialah menunaikan tanggungjawab sosial menyediakan sarapan pagi percuma kepada calon UPSR setiap hari. - UTUSAN ONLINE