Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha mendidik manusia bukan perkara mudah kerana ia melibatkan sentuhan akal dan hati budi yang memerlukan proses panjang.

Menurutnya, kegigihan guru menerusi pelbagai program dan dasar pendidikan mencakupi kemahiran pedagogi dan sahsiah telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang bertamadun dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Impak dari hasil pendidikan yang berkesan menjadikan negara ini dalam kedudukan yang harmoni, aman dan sejahtera sehingga Malaysia dijadikan negara Islam contoh oleh masyarakat dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Kompetensi Penolong Kanan anjuran Majlis Permuafakatan Penolong Kanan Sekolah Rendah Pasir Puteh (MPPKPP) di Kolej Vokasional Pasir Puteh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Harun Yusof.

Menurutnya, proses mendidik yang dilaksanakan di negara ini melibatkan keperluan akademik, agama dan moral serta keperluan psikomotor menerusi aktiviti kokurikulum selain memantapkan jati diri dan setiakawan dalam kalangan rakyat.

“Saya yakin ilmu dan kemahiran yang dikuasai barisan guru akan terus menjadi tonggak perpaduan untuk menyedarkan masyarakat di peringkat akar umbi supaya tidak terus me­nerima atau mempercayai bahan-bahan yang disebarkan menerusi internet atau secara lisan untuk kepentingan diri dan politik pihak tertentu.

“Pihak berkepentingan kini menggunakan teknologi maklumat mencanang pelbagai isu untuk mengikis kepercayaan rakyat terhadap hala tuju negara dan pelaksanaan dasar kerajaan yang seharusnya ditangkis dengan kenyataan tepat dan telus,” katanya.