Tertuduh, Abidin Abdullah, 43, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Azem Fatihi Kamal.

Dia didakwa telah menganiaya dan mengabaikan pelajar itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap mang­sa di sebuah madrasah tanpa nombor di Jalan Pantai Melawi, di sini antara tarikh 27 Mac hingga 28 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Firdaous tidak me­nawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesa­lahan yang dilakukan serius serta membabitkan mangsa yang masih muda.

Azem Fatihi tidak membenarkan tertuduh dijamin selain menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang memakai jubah berwarna perang dan berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang kelihatan tenang pada prosiding tersebut.

Dia kemudian dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu sementara menunggu sebutan semula kes.