Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiada inisiatif yang diberikan oleh pihak berwajib dalam usaha untuk meningkatkan kua­liti persekitaran dan ekosistem kawasan gua batu kapur berkenaan.

Malah persekitarannya yang dipenuhi semak samun serta sampah sarap itu langsung tidak mencerminkan keunikan luar biasa yang terdapat pada gua batu kapur di situ.

Selain itu, hampir semua kemudahan awam yang disediakan juga berada dalam keadaan yang sangat daif disalut lumut hijau serta me­ngalami beberapa kerosakan teruk.

Namun, sebuah warung kecil yang menjadi punca pendapatan penduduk tempatan selama ini terletak di pintu masuk kawasan tersebut masih meneruskan aktiviti perniagaannya demi sesuap nasi meskipun sambutan pelanggan amat dingin.

Menurut seorang Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi, Mohd. Zulhairi Che Mustapha, 27, berkata, suatu ketika dulu, kawasan ini menjadi tarikan pelancong kerana ekosistem gua batu kapur di sini masih belum dite­rokai.

Bagaimanapun katanya, sejak akhir-akhir ini, kawasan tersebut menjadi semakin terbiar kerana tidak dijaga sejak beberapa tahun lepas dan kunjungan orang ramai juga semakin berkurangan.

“Persekitaran di kawasan ini amat berbeza berbanding sebelum ini sehingga pengunjung kurang berminat untuk datang ke sini.

“Kawasan ini bukan sahaja ter­biar malah Gua Ikan juga turut terkesan dengan perbuatan vandalisme oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menconteng dinding-dinding gua,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd. Zulhairi berkata, tiada apa yang diharapkannya selain dapat melihat kawasan ini diba­ngunkan semula bagi menarik lebih ramai pelancong

“Kompleks Gua Ikan ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tempatan malah turut menjadi tumpuan para pelancong asing.

“Kita pernah menerima pelancong dari Perancis, Belanda, Jerman dan sebagainya. Mereka datang untuk mengkaji dan melihat sendiri keunikan gua batu kapur yang terdapat di sini,” katanya.

Kompleks Gua ikan tersebut terletak di di daerah Dabong iaitu kira-kira lima kilometer dari Air Terjun Jelawang.

Secara keseluruhannya terdapat enam gua di kawasan ber­kenaan, namun hanya empat gua yang menjadi tarikan pelancong untuk informasi berkaitan gua batu kapur.

Empat gua berkenaan adalah Gua Ikan, Gua Pagar, Gua Keris dan Gua Gelap manakala dua lagi gua adalah Gua Pacat dan Gua Manggis.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud berkata, pihaknya akan membantu untuk menghidupkan semula kawasan berkenaan engan mengadakan gotong-royong secara besar-besaran minggu hadapan.

“Sepatutnya kawasan ini adalah di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Dabong, namun kawasan ini tidak diselenggara dan terbiar selepas berlakunya banjir besar 2014 yang lalu,’’ ujarnya.

"Kebanyakkan kemudahan seperti tandas awam, pondok, jambatan dan kemudahan lain yang kita bina pada 2008 lalu telah mengalami kerosakkan,"katanya.

Tambah Mohd. Aidil Afizie, pihaknya akan meneliti semula segala keperluan yang diperlukan bagi mememajukan industri pelancongan di kawasan berkenaan.