HASANNUDIN HASAN

Kejadian kira-kira pukul 12 te­ngah malam itu disedari oleh paderi gereja, Goo Siew Lai, 42, yang menetap di tingkat dua apabila terdengar bunyi barang pecah terjatuh ke lantai.

Difahamkan ini merupakan ke­jadian khianat kedua berlaku di gereja tersebut di mana pada kali pertama pada Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ha­sannudin Hasan berkata, seorang suspek lelaki dipercayai telah membaling objek tersebut beberapa kali dari jarak enam hingga ke tujuh meter dari atas jejambat.

Beliau berkata, kejadian itu tidak melibatkan perkara sensitif seperti isu kaum dan agama.

“Kita minta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu khianat di tempat ibadat.

“Kita belum kenal pasti motif kejadian sama ada ianya berkait isu keagamaan dan pihak kami mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Sementara itu, Siew Lai berkata, dia sempat melihat dan merakam tindak-tanduk seorang lelaki yang berdiri di jejambat berhampiran gere­ja yang beberapa kali melontar objek termasuk batu ke arah cermin gereja serta kuil berdekatan.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Nissan Lavina berwarna putih.

“Semasa kereta itu membuat pusingan, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki lain telah merempuh bahagian belakang, namun kereta tersebut terus beredar meninggalkan dua lelaki yang terjatuh di atas jalan raya.

“Kerugian dianggarkan berjumlah RM3,000 melibatkan ke­rosakan di tingkat empat yang merupakan ruang aktiviti kanak-kanak,” jelasnya.