Pengerusi Persatuan Rumah­ Nga­ji negeri, Datuk Adnan Hashim berkata, program bertemakan Sembilan Budaya Membina Tamadun yang diambil daripada intipati surah al-Naml itu agak istimewa kerana diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan Ke-61.

“Di dalam surah al-Naml itu ditunjukkan bagaimana Nabi Sulaiman a.s membina negara melalui proses-proses yang disebut di dalam al-Quran.

“Antaranya meningkatkan il­­mu pengetahuan, pembentu­kan generasi pelapis, tadbir urus yang baik, disiplin dan ke­tegasan, tepat dalam membuat keputusan serta bermesyuarat bagi menegakkan kebenaran,” katanya selepas merasmikan Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Azhar Muhammad yang turut menyampaikan syarahan perdana berkaitan al-Quran.

Kira-kira 1,000 peserta mewa­kili 114 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini me­nyertai Malaysia #QuranHour.

Program yang diadakan selama tiga jam itu bermula pada pukul 11 pagi dan sarat dengan pelbagai pengisian seperti bacaan al-Quran, tadabbur serta tazkirah.

Adnan berharap, agar program seperti ini dapat membentuk masyarakat yang unggul serta dilaksanakan secara berterusan.

“Semoga segala usaha murni ini menggalakkan kita untuk berinteraksi dengan al-Quran iaitu dengan membaca, memahami, mengamalkan serta menyebarkan segala isi kandungannya,” jelasnya.