Dalam kejadian pada pukul 9.55 malam itu, Nur Ain Fitri Abdul Rahman, 16, yang baharu sahaja hendak melelapkan mata dikejutkan dengan bau hangit.

Jelas gadis ini, hairan dengan­ bau itu, dia terus bangun untuk memeriksa puncanya dan kemudian ternampak percikan api dari rumah sebelah.

Menurutnya, dia lantas me­nge­jutkan ibu dan tiga lagi adiknya yang sedang tidur untuk me­nyelamatkan diri daripada rentung.

“Mujurlah ketika kejadian, saya tidak panik dan berjaya mengejutkan ibu serta adik untuk keluar menyelamatkan diri.

“Kami hanya sempat melihat dari jauh tanpa boleh berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nur Ain Fitri memberitahu, ketika kejadian, bapanya, Abdul Rahman Muhammad, 41, tiada di rumah.

Katanya, dia lega apabila semua ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran yang turut melibatkan dua buah rumah lagi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Adenan Mohamad Juri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, seramai 21 anggota dari Balai Pasir Mas, Tunjong dan Rantau Panjang telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja memadam dan menyelamat.

“Sejurus kami sampai, kuarters tersebut sudah 80 peratus terbakar. Siasatan awal kami mendapati anggaran kerugian berjumlah RM200,000,” katanya.