Gadis manis bertudung labuh, Rabia’atul Adawiah Ruziham, 19, dari Kubang Kerian di sini hanya mempunyai medan penglihatan sekadar lima peratus berbanding individu biasa akibat penyakit saraf mata ‘retinitis pigmentosa’ yang dihidap sejak kecil.

Penglihatan gadis ini sangat kabur dan terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain ataupun alat seperti tongkat untuk berjalan jika berada di tempat yang baharu selain menggunakan kanta pembesar elektronik untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran.

Namun, semua kekurangan itu tidak menghalang cita-citanya terbang ke buml Mesir pada pertengahan bulan ini bagi melanjutkan pelajaran dalam program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar.

Rabia’atul yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, dia amat mengidamkan menjejakkan kaki ke Al-Azhar sekali gus menggapai impian bergelar penterjemah dan pakar Bahasa Arab.

“Saya sebenarnya tidak jangka dapat peluang ke Al-Azhar kerana saya gagal satu subjek semasa peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tetapi syukurlah saya mendapat keputusan Jayyid dalam peperiksaan sebenar.

“Saya perlu berani untuk menuntut ilmu walaupun sedar ada kekurangan, saya berdoa dapat mengharungi segala cabaran dengan sokongan rakan-rakan dan doa ibu bapa,” katanya di Majlis Keraian Pelajar Ke Timur Tengah 2019 di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Rabia’atul Adawiah adalah salah seorang daripada 212 pelajar lepasan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menerima bantuan RM500 seorang sumbangan Yayasan Kelantan Darul Naim (Yakin).

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.

Sementara itu, ibunya, Engku Radziah Engku Ahmad, 47, berkata, penyakit anak sulungnya itu turut dihidapi dua lagi anak perempuannya iaitu Bariyyah Busyra, 13, dan Nik Rahadatul Aisy, 8.

Engku Radziah berkata, dia dan suami, Ruziham Mahmud, 48, memang merasa bimbang melepaskan Rabia’atul terbang jauh namun akur kerana itu adalah impiannya.

“Rabia’atul tidak pernah belajar di sekolah khas sejak kecil malah dia sendiri yang mahu ke sekolah agama, dia tinggal di asrama Ma’ahad Pengajian Islam (MPI) di sini sejak tingkatan dua hingga tingkatan enam untuk berdikari walaupun rumah kami hanya 15 minit dari sekolah,” katanya. - UTUSAN ONLINE