Nik Yam Chik Zainab Nik Abdul Rahman, 25, sah menjadi isteri kepada jejaka yang sebaya denhannya, Abdul Halim Abdul Rahman pada 24 Disember lalu di Masjid Kampung Talak, di sini.

Nik Yam Chik berkata, perkenalan dengan cinta hatinya itu bermula selepas lelaki berkenaan menegurnya menerusi kiriman mesej di Fecebook.

Menurutnya, bagaimanapun dia ‘memeriksa’ terlebih dahulu akuan Facebook suaminya sebelum memberikan respon mesej yang telah dikirimkan sebelum ini.

“Suami banyak kongsikan benda-benda yang elok dan positif pada setiap hantaran Facebook, maka dari situlah saya mula tertarik untuk membalas kirim mesej tersebut.

“Disebabkan kampung suami tidak jauh, saya ambil keputusan untuk bertandang ke rumahnya pada 11 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Yam Chik memberitahu, pada 16 Jun lalu, suaminya itu membuat kejutan apabila datang merisik dan kemudian mereka bertunang 24 Ogos.

Katanya, selepas itu mereka membuat keputusan untuk melengkapkan ikatan suci itu dengan berkahwin pada 24 Disember lalu.

Kisah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim itu tular di laman-laman Facebook selepas pengalamannya pernah digelar ‘badak’ oleh seorang lelaki lima tahun lalu mencuri perhatian warganet.

Nik Yam Chik yang berjaya menurunkan berat badanya menjadi langsing sehingga menimbul rasa kagum warganet dengan semangatnya dan tidak kurang juga menyatakan rasa geram mereka kepada lelaki berkenaan yang telah melemparkan kata-kata tersebut. - UTUSAN ONLINE