Kedua-duanya adalah sebahagian daripada pemuzik dalam kumpulan dikir barat Suria Kencana di kampung mereka yang diasaskan pada 1998 dan merupakan anggota termuda daripada 25 ahli dalam kumpulan yang dimonopoli orang dewasa itu.

Nik Muhammad Farhan Alif yang juga anak kepada pengurus kumpulan, Ismail Yusuf, 54, berkata, dia selalu mengikut ayahnya dalam latihan dikir barat sejak berusia 4 tahun lagi dan mula menjadi pemain tamborin untuk kumpulan itu pada usia 8 tahun.

“Saya boleh bermain tamborin dan rumba serta mengikuti latihan kumpulan dua kali seminggu, cara bermainnya tidak susah sangat cuma saya perlu ingat giliran masa perlu masuk dalam lagu.

“Empat lagi abang saya iaitu Muhammad Badawi,24; Muhammad Badrul Hisham,20; Muhammad Badri Haikal, 19 dan Muhammad Faiz, 17 juga menjadi ‘awak-awak’ dalam kumpulan kami dan banyak membantu saya berlatih sendiri di rumah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di program Dikir Barat Viral anjuran Kelab Suara Muda di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Faris pula berkata, dia mula aktif bermain muzik dengan kumpulan itu awal tahun ini setelah diberi peluang oleh jurulatihnya yang juga tok juara, Zawawi Mohd Zain, 40.

“Saya suka sangat mengikut Farhan berlatih, sebab itu cikgu beri saya peluang kerana lihat saya berminat, saya juga bermain tamborin dan rumba dalam kumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Zawawi pula berkata, penglibatan anak-anak kecil dalam kumpulan dikir barat dewasa menuntut disiplin dan minat yang tinggi.

“Bermain alat muzik seperti tamborin dan rumba mungkin dilihat lebih mudah daripada rebana anak misalnya tetapi hanya yang minat boleh bertahan.

“Tempo lagu yang berbeza dan bertambah cepat terutama semasa giliran tok juara dan tukang karut memerlukan gerakan dan tumpuan daripada pemain muzik,” katanya. UTUSAN ONLINE