Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, beliau sangat menghargai komitmen diberikan ibu bapa kepada program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tersebut yang merupakan idea asal Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra sejak ia dimulakan pada 2014.

Tengku Mohamad Rizam ber­kata, penguasaan Bahasa Inggeris kini menjadi satu kemestian untuk memperoleh peluang lebih luas sama ada dalam bidang pendidikan mahupun kerjaya.

“Kita sedar dan bangga dengan bahasa ibunda kita sendiri tetapi kita tidak boleh nafikan kepen­tingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa sebab itu kita mesti menyediakan anak-anak ke peringkat dunia kerana cabaran di masa hadapan sudah tentu sengit.

“Program yang mengasah ke­upayaan bahasa dan kemahiran kepimpinan sebegini amat diperlukan anak-anak kerana ia membantu proses pencarian ilmu yang lebih meluas,” katanya semasa ber­ucap di majlis penutup program [email protected] 2016 di Masjid Telipot di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman; Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi; Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail; Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Yayasan Islam Kelantan (YIK), Mohd. Kamaruddin Omar.

Sementara itu, lebih 600 pelajar sekolah rendah dan mene­ngah terlibat dengan program itu tahun ini yang dijalankan di 12 masjid bandar dan jajahan seluruh nege­ri ini.

“Kita bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Jabatan Pendidikan negeri, YIK, UiTM dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menganjurkan program ini sejak 2014 menggunakan wang zakat demi manfaat pelajar khususnya golongan asnaf,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Mohd. AlBukhari Ibrahim, 15, dari Kampung Telipot berkata, program itu membuat dia lebih yakin untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Cikgu yang mengajar dalam kelas ini menggunakan Bahasa Inggeris yang mudah menyebabkan kami yakin untuk berinteraksi dalam kelas dan hasilnya semasa ujian lisan PT3 baru-baru ini saya tidak gagap dan tidak me­nghadapi masalah untuk menjawab soalan,” katanya.