Pakar Epidomologi dan Statistik Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Norsaadah Bachok berkata, selain itu antara faktor yang menyebabkan kanser berkenaan adalah pengambilan alkohol, kandungan gula tinggi dalam diet dan merokok.

Menurutnya, amalan itu perlu dielakkan kerana risiko menghidapi penyakit itu lebih tinggi khususnya golongan perempuan.

“Nisbah golongan perempuan yang berpotensi menghidapi penyakit itu adalah 100 orang berbanding seorang lelaki. Kita bimbang sebab kes kanser ini semakin meningkat dan paling kerap berlaku.

“Golongan perempuan kena lakukan pemeriksaan payu dara setiap bulan khususnya antara umur 20 hingga 30 tahun.

“Kita perlu periksa payu dara di hadapan cermin supaya peka dengan bentuk payu dara sendiri. Antara petandanya seperti puting tertarik ke dalam, kegatalan di sekeliling dan saiz ketulan besar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor di USM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai hal itu, Norsaadah berkata, amalan gaya hidup sihat seperti bersenam tiga kali seminggu boleh menghindarkan orang ramai menghidap penyakit itu.

“Banyakkan makan buah-buahan dan sayur hijau sebab kanser tidak boleh dihapuskan begitu sahaja.

“Kesibukan wanita dalam menguruskan rumah tangga juga antara sebab mereka tidak dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Oleh itu, sokongan suami penting supaya cakna akan perubahan payu dara pasangan seperti simptom-simptom yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan mitos tentang penggunaan ‘deodorant’ atau produk anti bau badan boleh menyebabkan kanser adalah tidak benar. - UTUSAN ONLINE