Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek itu kelak akan memberi impak besar kepada majoriti rakyat Kelantan, khususnya membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang berkaitan pembinaan dan pengangkutan.

“Ini merupakan langkah positif dalam merancakkan tempo ekonomi negeri dengan adanya kemudahan transportasi lebih efisien dan mampu menguruskan transaksi barangan bervariasi serta berskala besar.

“Secara langsung ia akan merubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetetif untuk semua warga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan projek ECRL yang sebelum ini tertangguh kerana dikatakan menelan perbelanjaan terlalu tinggi, akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 projek itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion, berbanding kos asalnya RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu berjaya dicapai setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahamd menambah, seandainya kewujudan ECRL diurus dengan baik dan mengikuti piawaian sebenar, projek itu akan memberi Malaysia banyak kebaikan selain menjadi satu lagi fasiliti negara yang bertaraf antarabangsa.

Katanya, perkara itu sudah pasti bakal memacu negara ini supaya membangun dengan lebih pesat lagi supaya setanding dengan negara-negara maju pada masa depan. - UTUSAN ONLINE