Mohd. Zaki, 52, yang menjadikan bidang pertukangan besi ini sebagai kerjayanya sejak 20 tahun lalu, bermula dengan menjadi seorang pembantu kepada pertukangan besi milik bapa mertuanya, Ibrahim Ismail, seorang tukang besi ter kenal ketika itu.

“Memang sejak remaja saya suka mengumpul barang-barang tradisional, termasuk senjata dan peralatan kesenian lain kerana bagi saya, ia mempunyai keunikan tersendiri selain menjadi simbol kekuatan Melayu.

“Sering terdetik dalam hati saya untuk belajar dan menghasilkan sendiri peralatan senjata, namun hasrat itu dipendamkan sehinggalah ditemukan jodoh dengan anak seorang tukang besi,” katanya ketika ditemui di bengkel pertuka ngan besi miliknya di Kampung Manir, Tendong, di sini baru-baru ini.

Katanya, ‘ibarat orang me ngantuk disorongkan bantal’ impiannya itu menjadi kenya-taan, apabila bapa mertuanya mencurahkan ilmu pertukangan kepadanya, dia belajar dan mendalami ‘ilmu pandai besi’ sehingga mahir dalam pembuatan senjata tradisional.

“Bukan mudah untuk me­nguasai kemahiran ini, jika tidak ada minat mendalam, kesabaran dan ketelitian.

“Kita perlu menahan bahang panas ketika proses sepuhan dilakukan, bagi menghasilkan pamor pada senjata, selain perlu memperuntukkan masa agak lama menghasilkan senjata tradisional dengan kemas dan sempurna,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Husain berkata, semua penat lelah itu ‘terbayar’ apabila setiap bulan dia meraih pendapatan agak lumayan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, antara peralatan yang banyak mendapat tempahan ialah pelbagai jenis mata lem bing yang dijual RM100 hingga RM250, selain keris yang mencecah ribuan ringgit bergantung kepada seni, bentuk dan saiz.

Dia juga turut menghasilkan pelbagai peralatan lain termasuk tetuang tanduk kerbau, kacip dan cucuk sanggul yang kini kembali diminati ramai.

Mohd. Zaki kini banyak me nerima undangan untuk membuat demonstrasi pertukangan besi di seluruh negara selain terlibat dengan pelbagai pameran dan jualan kesenian.

Menyentuh pendapatan, Mohd. Zaki berkata, peralatan atau senjata tradisional mempunyai peminatnya yang tersendiri.

“Mereka tidak lokek dan sanggup ‘berhabis’ demi mendapatkan barangan yang diminati,” katanya.

Katanya, perubahan zaman mengubah fungsi dan peranan senjata tradisional daripada alat mempertahankan diri dan perburuan kepada perhiasan, koleksi atau digunakan dalam majlis kebesaran.

“Apapun tujuannya, peralatan tradisional ini perlu dikekalkan agar tidak luput ditelan zaman, kerana ia amat berkait rapat dengan sejarah Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka lagi,” katanya. – BERNAMA