Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dia sudah terlalu ‘berumur’ untuk terus berada dalam bidang politik sehingga lupa semua perkara yang dilakukannya dan menyalahkan orang lain.

Beliau berkata, perkara itu jelas dengan kenyataan yang dikeluarkannya hari ini seperti menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan perkataan yang tidak sepatutnya serta menyalahkan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

“Beliau (Dr. Mahathir) seperti orang yang lemas, terjun dalam air kerana rasa dia pandai berenang tetapi dia tak perasan dia tak mampu dan tak pandai berenang lagi sebab itu dia pegang semua ranting yang hidup.

“Saya tidak tahu hendak kata apa lagi pada Dr. Mahathir. Saya teringat kata-kata arwah Ustaz Fadhil Nor (bekas Presiden Pas) yang berdoa supaya Allah memanjangkan usia Dr. Mahathir supaya dia dapat melihat sendiri kehancuran yang berlaku di atas tindakannya pada hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang menyifatkan Abdul Hadi sebagai kafir dan pengkhianat serta menyalahkan Yang Dipertuan Agong serta bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dalam krisis kehakiman pada 1988.

Takyuddin yang juga seorang pegamal undang-undang berkata, adalah tidak masuk akal sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak mengetahui dan mengarahkan pemecatan Salleh.

“Dalam Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberitahu untuk menubuhkan satu tribunal bagi membicarakan hakim mesti dibuat setelah mendapat representasi daripada Perdana Menteri, kalau tidak ada representasi Perdana Menteri, tribunal tidak boleh ditubuhkan.

“Kalau beliau (Dr. Mahathir) kata beliau diperalatkan oleh peguam negara, beliau menjadi Perdana Menteri apa?,” katanya.

Katanya, ini bukan pertama kali bekas Perdana Menteri itu menyalahkan orang lain di atas kesilapan yang dilakukannya pada masa lalu.

“Dalam isu Memali dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau salahkan polis. Dalam isu urus niaga mata wang, beliau salahkan Gabenor Bank Negara Malaysia (pada ketika itu) dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Beliau sudah terlalu berumur untuk berada dalam bidang ini,” katanya.

habis.