Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM), David Lai berkata, jumlah jurutera profesional dan bertauliah di seluruh negara yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) setakat ini baru mencecah 130,000 orang.

Kata beliau, jumlah itu masih belum menepati bilangan ideal untuk Malaysia yang sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0, iaitu dengan nisbah seorang jurutera bagi setiap 100 penduduk.

“Jumlah penduduk Malaysia kini mencecah 32 juta orang, jika mengambil kira nisbah seorang jurutera bagi setiap 100 penduduk, kita memerlukan sekurang-kurangnya 320,000 orang jurutera.

“Dengan kata lain, ketika bidang lain berdepan masalah lambakan graduan, bidang kejuruteraan di negara ini pula adalah sebaliknya kerana menawarkan banyak tempat kepada graduan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, Muhammad Ridzwan Roslan, 18, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), di sini semalam.

Pemuda OKU kudung tangan kiri sejak lahir itu memperoleh pencapaian cemerlang 9A 1B dalam SPM 2018 dan hasratnya yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan walaupun berdepan kekurangan fizikal pernah dilaporkan media baru-baru ini.

Yang turut hadir dalam pertemuan itu, Pengerusi IEM Kelantan, Ir. Abrizan Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, David berkata, ketika negara menuju ke arah Revolusi Industri 4.0, antara cabang kejuruteraan yang memerlukan seramai mungkin tenaga kerja ialah kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan kimia.

Mengulas pertemuan dengan Muhammad Ridzwan, beliau memberitahu tertarik dengan minat dan kesungguhan remaja itu dengan bidang kejuruteraan dan pihak IEM bersedia memberi bimbingan serta khidmat nasihat kepadanya dalam memilih jurusan dan universiti terbaik.

Sementara itu, Muhammad Ridzwan berkata, dia amat meminati kejuruteraan mekatronik dan sudah menerima tawaran daripada dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

“Alhamdulillah ibu dan bapa memberi kebebasan sepenuhnya kepada saya untuk memilih universiti mana paling sesuai dan setakat ini saya masih meneliti tawaran dua universiti tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE