Suspek ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di lokasi tersebut kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pergelutan berlaku antara suspek yang berusia 30 tahun dengan anggota AKSEM apabila dia cuba bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama.

“Selepas disoal siasat suspek mengaku ingin meletupkan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan pondok kawalan AKSEM.

“Kita menemukan lima plastik bijian, satu plastik serbuk kuning, sebilah gunting, pisau, empat biji bateri AA, satu set pemutar skru, satu lilitan wayar tembaga, satu kabel USB telefon bimbit, pengecas dan pasport dalam beg sandang suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Antara Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Mohamad Zulmazi dengan Ketua Polis Daerah Tumpat yang baharu, Ab. Rashid Mat Daud.

Hasanuddin turut berkata, suspek beralamat di Pandamaran, Klang, Selangor juga didapati dalam senarai dikehendaki untuk kes di bawah Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya dan turut mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Hasil saringan mendapati suspek positif methampethamine dan dia kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE