Pengenalan tempat letak kereta berbayar yang digelar ‘tol’ itu menjejaskan periuk nasi peniaga di kawasan berkenaan.

Kemuncak kepada bantahan itu berlaku apabila lebih 200 peniaga Pasar Tasek Raja berhimpun secara aman di kawasan letak kereta berhampiran Plaza Serangkai Mas bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu tersebut.

Timbalan Pengerusi II Persatuan Peniaga Pasar Tasek Raja, Mohd. Sakhi Abdul Kadir berkata, himpunan tersebut alternatif terakhir diambil persatuan selepas suara mereka tidak didengari pihak MDPM.

“Bantahan dibuat beberapa kali. Hari ini kami berhimpun sebagai jalan terakhir.

“Persatuan amat sedih dan terkilan dengan tindakan ‘membisu’ MDPM yang tidak memberi sebarang respon terhadap isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Sakhi kemudian menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Rantau Panjang Dr. Wan Shah Jihan Wan Din untuk membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan keluhan orang ramai terhadap sistem letak kereta berpalang yang mengenakan caj setiap kali mereka ke situ sehingga menyebabkan mereka memilih pergi ke pasar lain.

Dalam pada itu, Mohd. Sakhi memberitahu, persatuan hanya mahu suara peniaga didengari dan mereka terbuka untuk bertemu dan berbincang dengan MPDM bagi menyelesaikan isu tersebut.

Seorang peniaga, Niti Surianti Yusoff, 38, berkata, peniaga mendesak MDPM supaya membatalkan terus sistem kutipan tempat letak kenderaan di pasar Tasek Raja.

Katanya, sistem berkenaan menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas luar biasa pada musim perayaan lalu.

“Kesesakan ini menyebabkan orang ramai mengambil keputusan untuk berpatah baik,” katanya.