Harun sebelum ini hanya tinggal di baluh padi iaitu tempat menyimpan padi yang serba daif bersama cucu, serta dua cicitnya setelah kematian isteri sejak lima tahun lalu.

Menurut Harun, dia bersyukur dengan bantuan tersebut kerana keadaan baluh padi yang mereka diami sebelum ini amat daif dan tidak selesa.

“Sekarang ini, kehidupan kami lebih selesa berbanding rumah sebelum ini atap bocor serta kurang selamat untuk didiami.

“Dengan pemberian ini, kami amat berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kok Lanas), Datuk Md. Alwi Che Ahmad yang membantu menyegerakan pembinaan rumah PPRT ini,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Baloh, Kok Lanas di sini hari ini.

Sementara itu, Md. Alwi berkata, pihaknya telah berusaha membantu Harun mendapatkan rumah baharu setelah melihat kedaifan yang dialami mereka sekeluarga.

“Setelah menerima mesej daripada cucunya, Suraya Rosli,29 yang memohon untuk bantuan rumah PPRT, saya telah turun padang untuk melihat keadan rumah mereka dan ternyata agak teruk.

“Oleh sebab itu, saya segera memohon bantuan rumah PPRT untuk mereka dan ini adalah salah satu daripada tiga buah rumah yang diberi bantuan segera,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah membantu membaikpulih lebih 500 buah rmh serta membina 20 buah rumah PPRT di kawasan DUN Kok Lanas dalam tempoh dua tahun. - UTUSAN ONLINE