Sejak tengkujuh bermula bulan lalu, rasa perit dan sukar itu dirasai oleh penduduk di lebih 50 kampung yang terpaksa menempuh perjalanan sehingga 15 jam untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di bandar Gua Musang.

Seorang penduduk Pos Balar, Kamal Alek, 30, berkata, sejak berpuluh tahun lalu, penduduk Orang Asli sering berdepan ma­salah terputus perhubungan se­tiap kali musim hujan di kawasan pedalaman sehingga menyebabkan aktiviti harian mereka tergendala.

Katanya, antara jalan perhubungan yang kerap rosak teruk dan terputus setiap tahun ialah laluan ke Pos Balar, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Belatim, Pos Hau, Pos Pasik dan Pos Tohoi.

“Cuaca hujan menyebabkan jalan di kawasan penempatan kami berbahaya apabila licin dan berlumpur. Namun, itulah situasi yang terpaksa ditempuhi setiap tahun kerana jalan di kampung kami masih bertanah batu dan tidak berturap.

“Masalah itu berlarutan sejak berpuluh tahun lalu dan masyarakat pedalaman telah lali dengan masalah tersebut. Sudah menjadi kebiasaan kami terpaksa bermalam di kawasan hutan jika tayar rosak, rantai motosikal putus atau kehabisan minyak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zai­mi Along, 31, berkata, pendu­duk Orang Asli perlu bergadai nyawa untuk keluar ke pekan Gua Musang bagi mencari barangan keperluan setiap kali musim hujan.

Katanya, mereka terpaksa me­lalui denai curam dan meluncur di jalan balak licin menggunakan motosikal secara berseorangan dan berkumpulan.

“Setiap kali hujan juga kami terpaksa mengeluarkan kos lebih untuk membaiki motosikal yang rosak dan membeli minyak tambahan.

“Jika perjalanan biasa jarak bandar ke kampung kami hampir 100 kilometer atau memakan masa lima jam. Bagaimanapun, apabila hujan kami terpaksa meredah jalan berlumpur sehingga 15 jam lamanya,” katanya.