Kesengsaraan keluarga itu ber­mula apabila rumah mereka musnah dilanda bah kuning dua tahun lalu dan empat bulan lalu, suaminya pula Arif Hamzah, 47, diserang angin ahmar sehingga tidak mampu melakukan sebarang kerja.

Menurut isteri Arif, Laila Jusoh, 37, lebih memeritkan sehingga hari ini dia bersama suami serta lima anaknya terpaksa tinggal di rumah transit biarpun sudah dua tahun bencana alam itu berlalu.

Katanya, mereka terpaksa meng­­­­gunakan wang bantuan anak ketiganya, Mohd. Fadir Ikhwan, 14, sebanyak RM300 sebulan yang cacat sejak dilahirkan untuk membeli makanan untuk mereka sekeluarga.

“Selepas rumah musnah diha­nyutkan banjir, kami terpaksa tinggal di rumah transit ini yang juga bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir.

“Kesusahan kami sekeluarga bertimpa-timpa selepas suami yang bekerja di sebuah kilang ais di Kuala Lumpur diserang angin ahmar menyebabkan sebelah kanan badannya lumpuh.

“Keluarga mentua yang bersimpati dengan keadaan kami juga menghulur wang RM100 sebulan untuk perbelanjaan kami anak-beranak,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Lebir di sini hari ini.

Laila berkata, akibat kedaifan hidup, ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut dan berlapar apabila kehabisan bekalan makanan.

Katanya, dia berasa sedih tetapi terpaksa menggunakan wang bantuan anaknya yang sakit terlantar itu untuk menampung kehidupan mereka.

Orang ramai yang ingin meng­hulur sumbangan boleh meng­hubungi Laila di talian 017-9297990.