Kejadian malang menimpa mangsa, Khairunisa hanya disedari ibunya, Nurul Hazwani Shahferi, 27, selepas diberitahu ahli keluarga bekas suaminya, kira-kira pukul 11 pagi pada Sabtu lalu lalu bergegas pergi menyelamatkan anaknya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam, dan kecederaan di seluruh badan selain terdapat kesan cucuhan puntung rokok.

Nurul Hazwani berkata, Khairunisa serta adiknya, Mohd. Khalif Daneal, 6, diambil suspek yang berusia 31 tahun dari jagaannya pada 21 Oktober lalu.

“Namun, bekas adik ipar menghubungi saya memaklumkan anak sulung menjadi mangsa dera bekas suami dan dikurung dalam rumah sejak sebulan lalu. Mereka cuba membantu tetapi dia mengugut akan memukul anak lebih teruk.

“Saya terus melaporkan kepada polis sebelum pergi ke rumah itu dan menyelamatkan kedua-dua anak. Semasa ditemui Khairunisa dalam keadaan lemah selain kesan cucuhan rokok, serta kesan luka lama dan baharu di kepala dan badan,” katanya ketika ditemui di Limbat hari ini.

Nurul Hazwani memberitahu bekas suaminya bertindak demikian kerana benci melihat muka anak sulung mereka yang mirip dengan mukanya selain dendam kerana enggan rujuk selepas bercerai talak tiga pada September lalu.

“Bekas suami tidak mengapa-apakan anak bongsu, Mohd. Khalif Daneal, 6. Hanya anak sulung menjadi mangsa melepaskan marah kerana benci melihat mukanya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE