Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Khalid Tik berkata, denda RM1 juta boleh dikenakan kepada pengusaha yang gagal menyediakan stok mencukupi sehingga menyebabkan terputus bekalan.

“KPDNHEP sedang memantau rapi semua 180 stesen minyak di Kelantan dan sudah mengarahkan pengusaha memeriksa stok masing-masing. Kalau gagal penuhkan tangki hujung bulan, mereka boleh diambil tindakan, termasuk dikenakan denda sehingga RM1 juta.

“Setakat ini, kita belum menerima aduan berhubung mana-mana stesen yang terputus bekalan. Cuma baru-baru ini kita menerima kes rakyat dari negara jiran didapati membeli petrol melebihi had ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

PEGAWAI Akhbar Menteri KPDNKK, Hisyamuddin Bakar (tengah) bersama Pengarah PDNKK, Khalid Tik (kiri)

PEGAWAI Akhbar Menteri KPDNKK, Hisyamuddin Bakar (tengah) bersama Pengarah PDNKK, Khalid Tik (kiri) dan Pengerus Besar Pacifik Hypermarket , Chew Chin Kheong menyerahkan set pakaian baju sekolah kepada adik Nik Raudah Amalina Rosli (darjah 3) SK Machang semasa program Pengguna Bijak Kembali ke Sekolah di Pasaraya  Pacific, KB Mall di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE/ GHAZAI BASRI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Pengguna Bijak Kembali ke Sekolah yang disempurnakan oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDNHEP, Mohamad Hisomuddin Bakar, di sini hari ini.

Dalam program itu, 50 pelajar terpilih dari Parlimen Machang menerima sumbangan KPDNHEP Kelantan dalam bentuk baucer bernilai RM100 setiap seorang yang boleh ditebus untuk membeli kelengkapan persekolahan di pasar raya Pasific.

Baru-baru ini timbul kegusaran dalam kalangan rakyat di negara ini apabila mereka dikatakan akan berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari 2019.

Perkara itu timbul selepas para pengusaha stesen minyak dikatakan enggan menambah simpanan dalam tangki masing-masing menjelang penghujung bulan ini, susulan pengumuman kerajaan menggunakan semula apungan harga bahan api secara mingguan, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Tindakan itu menyebabkan petrol dan diesel akan dijual mengikut kadar lebih murah, di samping kerap berubah-ubah sekali gus merugikan pengusaha stesen minyak yang masih mempunyai baki bekalan bahan bakar tersebut yang diperoleh berdasarkan harga lama. - UTUSAN ONLINE