Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, setiap kali hujan lebat mereka akan terputus hubungan apabila jalan balak rosak teruk dan jambatan kayu hampir reput.

Katanya, antara penduduk Orang Asli yang sering berdepan masalah perhubungan ialah penduduk di Pos Gob, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau dan Pos Bihai.

“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) terpaksa menggunakan bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk membawa penduduk yang sakit di kawasan terlibat keluar bagi mendapat ra­watan kecemasan di hospital.

“Jakoa sudah berusaha membaiki jalan balak itu, namun ke­rosakan itu tetap berulang serta menelan kos yang besar. Kita juga meminta bantuan pihak pembalak untuk membaiki kerosakan jalan balak berkenaan kerana mereka turut menggunakan jalan itu bagi mengeluarkan hasil ba­lak,” katanya.

Tambah Ab. Aziz, beliau juga tidak akan serik untuk berkunjung ke kawasan perkampungan Orang Asli, selepas berdepan dengan insiden jambatan runtuh yang mencemaskan.

Katanya, mereka bersyukur apabila lebih 50 ahli rombongan selamat keluar dengan 10 buah kenderaan pacuan empat roda masing-masing, kelmarin.

“Pengalaman itu memberi semangat kepada saya dan rombo­ngan lain untuk memberi bantuan dan terus mendekati masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya.