Namun tarikh 22 Disember lalu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada hampir seluruh rakyat negeri ini terutama di Kampung Kemubu dekat sini.

Selepas sebulan lalu, penduduk kini berhadapan dengan masalah baharu iaitu debu tebal. ‘Bah kuning’ bukan hanya melenyapkan 40 buah rumah di kampung tersebut dan ‘memutuskan’ jambatan besi kereta api tetapi turut meninggalkan sisa lumpur.

Sisa itu menyebabkan penduduk hidup dalam debu pekat. Untuk bernafas tanpa penutup hidung amat merimaskan namun keadaan itu menjadi perkara biasa kepada penduduk kerana mereka terpaksa menempuhnya pada setiap hari.

Tinjauan Utusan Malaysia di perkampungan yang terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi Kemubu itu mendapati masalah debu tebal telah mendatangkan kesukaran kepada mangsa banjir untuk menjalani kehidupan seharian.

Ketika tiba di kampung berkenaan, penulis ternampak sepasang suami isteri sedang menjamu selera di dapur baharu mereka yang beratapkan zink dengan dikelilingi persekitaran berdebu.

Menurut Wan Daud Jusoh, 64, dia dan isteri, Siti Hatmah Yusoff, 66, tidak mempunyai pilihan selain membina dapur sementara yang terbuka itu selepas kediaman mereka terjejas teruk akibat ‘bah kuning’ lalu.

“Banjir pada kali ini yang turut membawa lumpur tebal telah menyebabkan hampir keseluruhan kawasan ini dipenuhi debu selepas air bah kering.

“Disebabkan itu, kini kami terpaksa membuat kerja-kerja pembersihan dan menjalani kehidupan seharian dalam keadaan berdebu,” katanya yang hilang mata pencarian selepas barang jualan di kedai runcitnya turut musnah akibat bencana tersebut.

Walaupun tahap kesihatannya masih baik pada ketika ini, namun bapa kepada 10 anak itu turut melahirkan rasa bimbang kerana terpaksa menghirup udara tercemar itu saban hari sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, seorang pemandu bas sekolah, Suhami Radzi, 32, berkata, masalah debu tersebut telah menjejas kesihatan mereka sekeluarga terutama anak-anaknya berusia tiga dan setahun itu.

“Bukan sahaja mengalami batuk tidak berhenti-henti sejak dua minggu lalu, anak-anak juga mengalami masalah gatal-gatal dan ruam selain selsema.

“Disebabkan sebahagian rumah saya runtuh, jadi kami sekeluarga tidak mempunyai pilihan selain berlindung di bawah khemah terutama pada waktu siang ketika kerja-kerja pembaikan dilakukan,” ujarnya.

Ujarnya, dia bingung untuk mengatasi perkara itu kerana jika disiram air bimbang kawasan itu akan kembali berlumpur dan akhirnya menyukarkan kerja-kerja pembersihan rumah.

Kakitangan awam, Rahim Hussin, 56, berkata, lokasi kediaman yang berhampiran dengan laluan berdebu itu menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berulang kali menyapu rumah dalam sehari.

“Bukan sahaja dalam rumah sentiasa rasa berpasir malah perabot dan pakaian sering diselaputi debu. Malah, makanan yang tidak ditutup rapi juga mudah terjejas.

“Disebabkan pakaian dijemur akan kotor semula akibat debu, kami terpaksa menjemur pakaian di dalam rumah,” katanya yang mengalami batuk-batuk sejak dua minggu lalu.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan dia sekeluarga adakala terpaksa menggunakan penutup hidung walaupun berada dalam rumah terutama ketika berangin.