Pengurus DCC, Hisham Ab. Halim berkata, kejayaan itu adalah bersandarkan kegigihan me­reka menjalani latihan dan hasil program pembangunan DCC yang ditubuhkan sejak 2014.

Katanya, antara kejohanan yang disertai pelumba dari kelab tersebut ialah Junior Cycling Malaysia, Sirkit Remaja Kebangsaan, Sirkit Sport Excell Milo, Kejohanan Track Remaja Kebangsaan, Malaysia downhill Series dan banyak lagi.

“Sepanjang April hingga awal bulan ini, pelumba DCC mencapai banyak kemenangan yang menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus bertahan dan setia bersama DCC.

“Pada April lepas, Muhd. Amirul Nasran Ab. Aziz, 19, mendapat tempat kelima bagi kategori Road Bike U19 Kuala Terengganu Ride Challenge (KTRC), Lee Wei Chuen, 17, dinobatkan naib juara bagi kategori Road Bike U17 Junior Cycling Malaysia (JCM) Ipoh Cycle Fest dan Mohammad Aiman Mohamad, 18, juara U18Ipoh Cycle Fest Downhill Challenge.

“Manakala pada awal Mei, Mohamad Atheef Afandi, 17, men­dapat tempat kedua dalam sirkit JCM yang berlangsung di Pulau Pinang dan Muhd. Hilman Azhar, 15, mendapat tempat ketiga dalam pelumba International Mount Jerai Switchback Challenge bagi kategori junior lelaki,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dalam usaha mengembangkan kelab tersebut, pihaknya masih memerlukan tajaan bagi membolehkan keseluruhan pelumba diberikan peluang menyertai sirkit pelumbaan.

“Sehingga hari ini, DCC mendapat sumbangan material dan peralatan daripada Seng Aik Trading, Superteam Malaysia, Beotech USA dan sokongan orang perseorangan, Ban Swee Lee selain sokongan ibu bapa peserta yang berkemampuan menyediakan perbelanjaan bagi setiap kejohanan,” katanya.