Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, rak­yat kini sudah pasti boleh menilai sikap dan muslihat sebenar DAP yang memperalatkan siapa sahaja demi kuasa mereka.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar lebih prihatin dengan masalah dalaman parti itu sendiri daripada cuba menghakimi Pas.

“Beliau (Guan Eng) patut sedar sepanjang penggal ini sahaja DAP kehilangan lapan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), memecat seorang ADUN dan bakal kehilangan beberapa lagi menjelang tamat penggal ini.

“Saya yakin politik ‘keanak-anakan’ dan ‘ala-gengstar’ DAP akan menyebabkan parti itu kehilangan bukan sahaja pengundi Melayu dan bukan Cina tetapi juga undi orang Cina.

“Pertelingkahan antara beberapa pimpinan DAP de­ngan parti berteraskan kaum Cina yang lain adalah contoh klasik akan sikap itu,” kata­nya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng menyelar Pas dengan menyifatkan perjuangan parti itu kini sudah sesat dan sebagai parti pembangkang olok-olok.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar daripada Pas pada malam akhir tahun lalu.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas tidak memerlukan tunjuk ajar DAP dalam menentukan hala tujunya.

“Pas sudah mempunyai dasar jelas tanpa kompromi dengan pendekatan yang sesuai dengan keadaan masa dan ketika.

“Pas komited dengan jalan demokrasi, politik sihat dan konstruktif, menolak politik ‘kombatif’ seperti diamalkan DAP. Dalam menghadapi PRU-14, Pas bersedia menerima keputusan rakyat sama ada sebagai pembangkang ataupun kerajaan,” katanya.