Rekod tersebut diumumkan Timbalan Pengurus MBOR, Mohammad Alex Edward dan menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Left. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Menurut Zaliman, Pertandi­ngan Dam Aji Antarabangsa 2018 merupakan satu rekod baharu dicatat­kan dalam MBOR dengan tiga kategori penyertaan iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

“Kejohanan itu menyediakan hadiah utama sebanyak RM3,000 bagi setiap kategori, selain cabutan bertuah berupa motosikal,” katanya ketika ditemui di IPG Kota Bharu dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YGM, Dr. Roslan Basaruddin dan Pengarah UCTC UMK, Prof. Madya Dr. Mohad Anizu Mohd Nor.

Zaliman berkata, kejohanan seumpama itu akan terus diperkasakan kerana dam aji merupakan satu permainan tradisional yang menguji kebijaksanaan akal.

“Permainan ini perlu dihidupkan semula dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.

“Kejohanan ini bukan sahaja menerima penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah, persatuan dan kelab tetapi melibatkan kehadiran peserta daripada luar negara seperti Jepun, United Kingdom, Thailand, Indonesia dan lain-lain negara,” katanya.

Sementara itu, Mohad Anizu berkata, kejohanan yang berjaya mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara itu membuktikan permainan tradisional tersebut masih mempunyai peminatnya.