Azreen Mohamad Ariff kini menjadi pembekal utama makanan eksotik tersebut di negeri ini malah beliau berhajat untuk membuka ladang rusa sendiri tidak lama lagi.

Katanya, beliau tidak me­nyangka permintaan terhadap daging rusa di negeri ini amat menggalakkan dan dijual de­ngan harga bermula daripada RM70 sekilogram.

“Kami sekeluarga amat gemar makan daging rusa dan dise­babkan sukar untuk mendapatkan bekalan maka saya mencari pembekal daging ini yang berada di Pahang.

“Pembekal ini mempunyai ladang sendiri. Beliau menternak kira-kira 400 ekor rusa dan saya sedang belajar cara-cara untuk menternak haiwan ini tetapi sekarang saya membela empat ekor rusa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Lama, Rantau Panjang di sini hari ini.

Azreen berkata, pada musim perayaan ini, permintaan melam­bung tinggi dan beliau telah menjual lebih 100 kilogram daging rusa sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, beliau juga memperkenalkan karipap da­ging rusa dengan resipi tradisi bagi menambah jenis kuih muih tempatan.

“Sebelum ini, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, saya membuat kajian berkaitan rusa yang dikatakan berasal dari New Zealand itu dan mendapati mudah menternaknya jika mempunyai kawasan yang diperlukan.

“Haiwan ini jinak, tidak bising manakala makanannya termasuk rumput napier dan daun pokok mulberi yang sangat digemarinya,” katanya.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, beliau bersedia berkongsi dengan mereka yang berminat untuk menternak haiwan itu .

Mereka yang minat boleh menghubunginya ditalian 014-8188822 atau facebook afia deer farm.