Pada program itu, kumpulan kesenian ‘Ningyojoruri Bunraku’ seramai tujuh orang bersama kumpulan Pawalit Hamzah dari Morak, Tumpat telah berjaya mempersembahkan cerita tradisional Jepun bertajuk ‘Kehangatan Cinta Anak Pekebun Sayur’ dengan menggabungkan aksi boneka Bunraku dan wayang kulit.


Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Salehuddin Md Salleh berkata, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Jepun Kuala Lumpur bagi mendedahkan kesenian kedua-dua negara kepada umum.


“Mereka hanya berlatih bersama sebanyak dua kali untuk persembahan ini dan tidak menghadapi masalah untuk memahami kehendak masing-masing walaupun berbeza bahasa.


“Bunraku adalah kesenian yang telah diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian warisan kesenian tidak ketara dunia dan berusia lebih 350 tahun.


“Gabungan persembahan antara boneka Bunraku dan wayang kulit ini adalah pertama kali kita bawakan sebagai satu percubaan dan pendedahan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.


Yang turut hadir, Ketua Jabatan Hal Ehwal Kesenian Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Ikeda Hiromi. 


Program itu telah dimulakan dengan persembahan dan demonstrasi boneka Bunraku yang mengandungi aksi boneka dikendalikan tiga dalang; penceritaan dan nyanyian oleh tukang cerita serta iringan alat muzik ‘shamisen’ kira-kira sejam.


Ia kemudian diteruskan oleh persembahan wayang kulit bertajuk ‘Seri Rama Memanah Pohon Tar’ oleh kumpulan Pawalit Hamzah diketuai tok dalang terkenal, Rahim Hamzah sebelum aksi gabungan kedua-dua kumpulan. UTUSAN ONLINE