Sebagai permulaan, seramai sembilan peserta terpilih untuk mengikuti projek tanaman cili yang dimulakan sejak bulan Ogos tahun lalu.

HAYATI CHE AMAT
HAYATI CHE AMAT 

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kese­dar) menyediakan tanah serta benih pokok cili untuk diusahakan peserta terlibat.

Sebelum ini, peserta terlibat te­lah disediakan peluang pekerjaan seperti bekerja di ladang sawit dan mengusahakan tanaman koko.

Peserta terlibat dengan tanaman itu bersyukur dengan perubahan hidup keluarga mereka yang sebelum ini dibelenggu kesempitan hidup sebelum menyertai projek itu.

Seorang peserta, Wan Rohayati Wan Hassan, 48, berkata, setiap pagi, peserta terlibat akan menjalankan aktiviti seawal pukul 8 pagi untuk menguruskan tanaman dan memetik cili.

Katanya, setiap minggu mereka dapat memungut hasil cili kulai lebih 500 kilogram.

NOOR AINI YUSOFF
NOOR AINI YUSOFF 

“Setakat ini sebanyak 6,000 pokok cili berjaya mengeluarkan hasil dalam tempoh 65 hari. Cili yang berjaya dikutip itu dihantar kepada sebuah syarikat sos cili di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibu tunggal, Hayati Che Amat, 47, pula berkata, dia bersyukur menyertai projek itu apabila pendapatan bulanannya mampu menampung perbelanjaan keluarga.

Katanya, selepas kematian suami lebih tiga tahun akibat sa­kit kronik, dia telah mengambil tugas menyara lima orang anaknya.

“Projek ini sememangnya membantu saya dan keluarga. Tanaman cili kulai ini boleh diceburi oleh golongan wanita kerana ia tidak rumit seperti tanaman lain,” katanya.

Seorang lagi peserta, Noor Aini Yusoff, 44, pula berterima kasih kepada pihak ECER dan Kesedar yang membantu mereka untuk menjana pendapatan.

“Pihak ECER dan Kesedar menghantar peserta untuk mengikuti kursus bagi mengendalikan tanaman cili itu.

“Setiap bulan pendapatan kami sudah melebihi RM1,000 hasil daripada tanaman cili kulai itu,” katanya.