Wan Ahmad Amin Wan Ahmad, 24, atau lebih dikenali de­ngan panggilan cikgu burung berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak ber­usia 12 tahun.

Menurutnya, minat tersebut timbul selepas dia banyak bergaul dengan orang yang lebih ber­usia ketika itu untuk belajar tenik ‘mengasuh’ burung terkukur.

“Dari situ minat tersebut semakin bercambah dan setakat ini, saya melatih lebih 500 ekor burung tekukur untuk dijadikan denak bagi aktiviti memikat haiwan ini sejak 13 tahun lalu.

“Saya gembira, kebanyakan burung yang dilatih ini mampu menjalankan tugas sebagai denak dengan baik apabila berjaya menarik terkukur hutan dan liar untuk masuk ke dalam perangkap,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Embun, di sini hari ini.

Wan Ahmad Amin berkata, ke­sukaran mengajar burung terkukur boleh diumpamakan seperti menjaga anak kecil.

Katanya, haiwan itu akan menjadi culas dan liar apabila menyedari ia berada dengan tuan baharu.

“Jadi untuk mengubah sikap culas itu, saya perlu belai dengan penuh kasih sayang.

“Sebagai permulaan, saya akan mandikan dan membelainya supaya burung tersebut tidak lagi culas,” katanya.

Wan Ahmad berkata, per­­bua­­tan tersebut akan dilakukan berterusan sehingga haiwan ini berubah menjadi jinak dan mudah untuk dikawal.

Katanya, dia mengambil masa selama tiga bulan untuk melatih burung terkukur sebelum boleh dijadikan sebagai denak.

“Bagaimanapun semua ini bergantung kepada sifat dan gelagat burung tersebut untuk dilatih. Segala penat jerit melatih burung terbalas apabila haiwan ini mampu menjadi denak yang baik,” katanya.