Salah seorangnya, Wan Fa­rah Hayati Wan Mohd. Gha­zali, 12, berkata, hatinya berdebar namun tetap bersemangat untuk menjawab soalan pe­periksaan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu dilahirkan normal tetapi menjadi buta akibat demam panas pada usia tiga tahun.

“Saya bangun pada pukul 5.30 pagi lagi buat ulangkaji terakhir untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan.

“Saya mahu belajar tinggi-tinggi seperti kakak sulung saya, Wan Nurul Munirah, 21, yang kini mengambil jurusan perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya ketika ditemui sebelum peperiksaan bermula di sini hari ini.

Wan Farah Hayati berkata, selain dirinya, abangnya Wan Ibrisham Hakim, 13, juga mengalami masalah penglihatan dan kini belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak di Kuala Lumpur.

Seorang lagi calon buta, Siti Syahirah Mohd Sahidi, 12, pula berkata, dia hanya mendapat 2A semasa peperiksaan percubaan tetapi yakin mencapai keputusan lebih baik dalam peperiksaan sebenar.

“Saya bercita-cita menjadi penyanyi profesional yang berilmu dan ada kelulusan akademik cemerlang,” tekadnya.

Sementara itu, seramai 28,551 calon UPSR negeri ini menduduki peperiksaan itu yang bermula sejak Khamis lalu sehingga 27 September ini.

Menurut kenya­taan Jabatan Pendi­dikan negeri, terdapat 446 pusat peperiksaan dibuka di semua daerah melibatkan 2,823 petugas.

“Calon-calon meliputi murid dari Sekolah Kebangsaan seramai 26,853 orang, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (850 orang), SJK Tamil seorang calon, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (66 orang), Yayasan Islam Kelantan (303 orang) dan 478 calon persendirian.

“Peperiksaan bermula pada 20 September lalu de­ngan kertas Bahasa Cina dan diikuti kertas Bahasa Melayu hari ini,” katanya.