Presidennya, Mohammad Ha­miz Haqim Ibrahim berkata, perkongsian kepakaran itu dilakukan menerusi program bakti siswa melibatkan pelajar-pelajar daripada pelbagai bidang yang sedang menuntut di universiti tersebut.

Menurutnya, Cakna UUM menjadikan luar bandar sebagai sasaran utama dengan hasrat untuk memastikan lebih ramai anak-anak di kawasan itu berjaya melanjutkan pelajar ke pe­ringkat lebih tinggi.

“Setiap kali turun ke kawasan-kawasan luar bandar ini, kami akan berkampung selama tiga hari dua malam. Sepanjang berada di sini, pelbagai program berbentuk pendidikan di dedahkan kepada pelajar-pelajar ini.

“Pendedahkan ini diharap mampu membangkitkan semangat pelajar-pelajar luar bandar untuk mengikut jejak langkah kami melanjutkan pelajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita dalam Program Semaian Kasih, Budi Disanjung di Kampung Dabong, dekat sini baru-baru ini.

Seramai 48 peserta dan seorang penasihat telah berkampung selama tiga hari dua malam bagi menjayakan program tersebut.

Mohammad Hamiz membe­ritahu, pihaknya sudah merancang pelbagai lagi program untuk membantu memperkasakan lagi pendidikan di luar bandar.

Katanya, pemerkasaan pendidikan luar bandar itu amat penting bagi memastikan pelajar-pelajar di kawasan tersebut tidak terus tercicir.

“Amat malang, jika masih ada pelajar yang tercicir kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan.

“Jadi perlu direbut dengan sebaik mungkin, kerana pelajaran sahaja yang mampu mengubah masa depan seseorang,” ujarnya.

Mohammad Hamiz berkata, melalui program berkenaan pi­haknya juga dapat merangsang potensi dalam kalangan mahasiswa UUM bagi memasarkan diri ke alam perkerjaan dengan baik sejurus tamat pengajian.