MOHD. SYAHBUDDIN

Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata, pada setiap hujung minggu, ramai rakyat negeri ini ke Terengganu semata-mata untuk menonton wa­yang.

Beliau berkata, biarpun panggung wayang tersebut dibina semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), namun Kerajaan Pas Terengganu tidak menutup pusat hiburan tersebut.

“Justeru, saya mencadangkan supaya panggung wayang patuh syariah dibuka di negeri dan kerajaan boleh menambah cukai hiburan serta kita kawal kaedah pelaksanaan ini.

“Pelaksana panggung wayang ini dibolehkan malah ulama tersohor, Prof. Sheikh Dr. Yusuf al- Qaradawi juga ada menyebut sebarang bentuk wayang atau filem diterima jika ia boleh memberi manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Operasi panggung wayang sebelum ini yang dikenali sebagai Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama telah dihentikan selepas Pas mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada 1990.

Dalam pada itu, Mohd. Syahbuddin turut meminta kerajaan negeri supaya menjelaskan mengenai jumlah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di negeri ini.

“Setakat ini berapa banyak CCTV yang dipasang di lokasi panas kerana ia amat penting bagi mencegah jenayah,” katanya.