Rohana Azmi diusung ke dalam helikopter Unit Udara JBPM untuk dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan, kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan mela­kukan penerbangan, pemindahan perubatan (Medevac) untuk membantu Rohana Azmi, 26.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai pesakit berkenaan.

“Penerbangan tersebut dilaksanakan pada pukul 12.45 te­ngah hari dan sampai di Pos Gob pada pukul 1.50 petang untuk mengambil pesakit.

“Pada pukul 2.25 petang pesakit bersama suami dan seorang lagi anaknya berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan terus dikejarkan ke hospital dengan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

“Pesawat Agusta Westland 139 itu dikendalikan oleh juruterbang Kapten Sidek Abas serta dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shahrizal Shaari dan dua lagi anggota,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Farhan, bagai­manapun sehingga kini pesakit tersebut belum lagi bersalin dan berada dalam pengawasan doktor.

Katanya, pesakit yang me­ngadu sakit di bahagian pinggang dan kandungannya gagal dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana jalan rosak teruk.

“Kami segera melaksanakan penerbangan selepas menerima laporan jalan darat yang rosak akibat hujan beberapa hari lalu.

“Pihak kami kerap membantu masyarakat Orang Asli yang sakit untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan kerana lokasi mereka yang tinggal jauh di pedalaman,” katanya.