Radiah Angah, 48, mengalami demam panas, muntah dan cirit-birit secara berterusan menyebabkan anggota tubuh badannya lemah tidak berdaya serta hilang selera makan.

Pegawai Perhubungan Awam jabatan tersebut, Penolong Pe­nguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pesakit yang lemah dan tidak berdaya untuk berjalan itu terpaksa diangkat menggunakan pengusung.

Kata beliau, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 1.15 petang selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Pasukan kami tiba di Kampung Tendrik pada pukul 2.15 petang dan mangsa selamat tiba di Balai Bomba Gua Musang pukul 3 petang.

“Pesakit terus dibawa ke hospital selepas itu menggunakan van Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS) bomba,” katanya di sini semalam.

Tambah Mohd. Farhan, pesawat Agusta Westland itu dikendalikan oleh juruterbang Kapten Sidek Abas bersama pembantu juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Fadhlan Pauzie serta dua lagi anggota.

“Sehingga pertengahan tahun ini, hampir 15 penerbangan medical evacuation (Medevac) telah kita lakukan bagi membantu pesakit Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan,” katanya.