Pengarah Bomba negeri, Nazili Mahmood berkata, seramai 1,127 anggota yang terdiri daripada anggota tetap, bantuan dan sukarelawan akan ditempatkan di setiap daerah bagi memudahkan urusan menyelamat mangsa banjir.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai 35 bot, tujuh lori tiga tan dan lima tan untuk kerja-kerja mencari serta menyelamat.

“Kemunculan monsun ini diramal memberi impak besar kepada Kelantan, jadi pelbagai persiapan dibuat termasuk latihan fizikal dan mental kepada anggota terlibat.

“Setiap anggota ditempatkan di setiap kawasan dan digerakkan bila-bila masa. Jika perlu, cuti akan dibekukan bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dilakukan,” katanya dalam sidang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nazili berkata, pihaknya juga mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi dinaiki air seperti di Kuala Krai, Gua Musang, Rantau Panjang, Pasir Puteh dan Jeli.

“Orang ramai juga diminta supaya membuat persiapan awal dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Selain itu, kita juga berharap agar orang ramai dapat memantau ahli keluarga masing-masing daripada mengunjungi kawasan berisiko seperti air terjun atau jeram,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nazili berkata, pihaknya kini sedang mengadakan pemeriksaan tahap kedua bagi seluruh 167 pusat tahfiz di negeri ini.

“Sebelum ini kita selesai me­laksanakan pemeriksaan tahap pertama dan sekarang pemeriksaan tahap kedua yang lebih terperinci sedang dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Setakat ini, kita dapati kebanyakan pusat tahfiz tidak mempunyai sijil kebakaran. Jadi, selepas pemeriksaan ini selesai, kita akan memberi latihan yang sepatutnya kepada penghuni pusat tahfiz,” katanya.