Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, bilangan itu bertambah berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 35 penerbangan ihsan yang kesemuanya ke Hospital Gua Musang (HGM).

Beliau berkata penerbangan ihsan terbaharu dalam keadaan cuaca buruk dan hujan dilakukan petang semalam bagi menghantar seorang wanita Orang Asli, Sarimah Jali, 27, yang bengkak belakang dan sakit perut kritikal dari Pos Balar di sini ke HGM.

Penerbangan itu menggunakan helikopter Agusta AW139 (BOD), berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang, pada pukul 2.25 petang dan mendarat di Pos Balar untuk mengambil pesakit berkenaan pada pukul 3.06 petang semalam, katanya.

"Walaupun keadaan cuaca buruk di Pos Balar, namun penerbangan itu dapat mendarat dengan selamat bagi mengambil pesakit sebelum mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 3.55 petang sebelum pesakit dibawa ke hospital," katanya di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, pihaknya juga bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh di daerah ini berikutan hujan berterusan dan Orang Asli yang terdedah dengan kejadian tidak diingini.

Katanya, ini berikutan hampir keseluruhan perkampungan Orang Asli terletak di pedalaman terputus hubungan jalan darat kerana berselut dan berlumpur.

"Apapun, kami sentiasa menunggu laporan dan permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi tugas-tugas menyelamat," katanya. - BERNAMA