Seorang wanita, Norlida Yaacob, 54, dari Pasir Tumboh di sini telah mengusahakan pembuatan biskut raya sejak 20 tahun lalu di bawah jenama ‘Norliey’s Cookies’ malah kini menjadi pembekal tetap biskut raya kepada sebuah pasar raya terkemuka di Kuala Terengganu, Terengganu.

Wanita anak empat ini berkata, dia memperoleh purata jualan biskut raya antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Biasanya setiap tahun saya hasilkan 30 jenis biskut raya tetapi tahun ini saya terpaksa hadkan kepada 20 jenis sahaja kerana mula membuat biskut selepas tamat kerja kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

“Saya ambil pekerja sementara seramai 10 orang khusus untuk membantu membuat biskut dan kami bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

“Setakat ini saya menerima tempahan 5,000 bekas biskut raya termasuk daripada pasar raya dan orang ramai yang menjadi pelanggan tetap setiap tahun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, antara biskut yang menjadi kegemaran pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur adalah tart keju, tart nyonya, ‘red velvet’ dan juga ‘exora’ iaitu biskut berasaskan keju yang dibentuk seperti sebuah kereta.

Norlida yang mendapat bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta menerima pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menjalankan aktiviti katering di luar bulan Ramadan. - UTUSAN ONLINE