Seorang ibu, Rohana Abd Rahman, 50, berkata, dia gembira ke­rana anaknya, Norhidayah Mohd. Radi, 12, diraikan serupa murid lain meskipun kurang cemerlang dari sudut akademik.

“Saya setuju dengan cara PPSR dijalankan kerana murid tidak akan merasa terbeban dan tersisih. Saya lihat murid gembira dan bersedia menerima keputusan masing-masing.

“Anak saya akan cuba memohon sekolah tahfiz selepas ini kerana itu merupakan minatnya sejak dahulu,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Datu' Hashim, di sini hari ini.

Seramai 219 murid tahun enam termasuk calon berkeperluan khas menerima PPSR masing-masing daripada Guru Besar, Rohani Rajab.

Sementara itu, seorang bapa, Muhamad Safri Abdullah, 43, dari Taman Rimbunan di sini berkata, ibu bapa perlu menerima perubahan cara pendidikan dalam era globalisasi yang semakin mencabar.

“Kita tidak boleh berada di takuk lama, sekolah dan ibu bapa perlu bergandingan dalam memastikan kejayaan anak-anak pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi bapa, Zumri Hassan, 51, dari Kampung Tanjung Baru di sini berkata, sistem baharu yang diperkenalkan melalui PPSR adalah baik kerana kecemerlangan murid tidak lagi tertumpu kepada akademik semata-mata.