Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut kerana menyentuh soal pokok kepada Perlembagan Negara iaitu institusi raja yang tidak sepatutnya cuba diganggu gugat.

Tegas beliau, konsep Malaysia Baharu yang dilaksanakan sekarang adalah berasaskan kebebasan media, namun itu bukan bermakna semua pihak mempunyai kebebasan mutlak untuk berbuat sesuka hati termasuk memburukkan imej institusi raja.

“Pas mendokong titah Tuanku Sultan Selangor yang menzahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu sendiri apabila cuba mengkritik institusi raja yang menjadi asas kepada penyatuan dan pembentukan negara.

“Kita minta kerajaan segera membendung perkara ini. Jangan sampai jadi satu budaya dan pihak yang menghina raja-raja ini perlu dibawa ke mahkamah dan dihukum. Itu tindakan yang sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddon Idris Shah yang berdukacita dengan perbuatan pihak tertentu kerana secara terbuka menghina dan memperlekeh institusi raja bagi menghasut rakyat membenci raja-raja Melayu.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menghadiri program ‘Let’s make them smile’, iaitu membawa kira-kira 80 golongan asnaf terdiri daripada 17 keluarga dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor membeli baju raya di Pasar Raya Billion, di sini.

Program itu dikendalikan Kelab Sukarelawan Kebajikan Salor (Kesukes) dan dibiayai sepenuhnya menerusi sumbangan derma orang ramai.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saiful Adli Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE