Sebelum tahun 2008, penduduk kampung hanya menggunakan bot untuk menyeberang sungai tersebut untuk ke bandar Kuala Krai.

Apabila berlaku kematian di hospital Kuala Krai, jenazah perlu dibawa balik ke kampung untuk dikebumikan dan sekiranya berlaku air sungai naik, kemungkinan bot boleh terbalik dan jena­zah terjatuh ke dalam sungai.

“Kami berbincang memikirkan andainya berlaku tragedi sedemikian, kami tidak mahu melihat jenazah mati dua kali,” kata Pengerusi Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad (KKPKB), Muha­mad Jaafar menceritakan permulaan perkhidmatan feri di kampung itu ketika ditemui di sini semalam.

Kata­nya, mereka berjaya me­ngumpulkan sejumlah wang an­tara RM100 hingga RM2,000 seorang untuk membeli feri itu.

“Dengan permulaan harga kira-kira RM120,000, kami membuat tempahan untuk feri pada tahun 2010 di Pasir Gudang, Johor. Bagaimanapun, feri hanya siap pada tahun 2012 dengan bayaran tambahan RM333,000 dan kami meminjam wang daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk melangsaikan bayaran tersebut,” katanya.

Muhamad berkata, pada pe­ring­kat awal penubuhan koperasi tersebut agak mudah kerana penduduk kampung yang rata-ratanya penoreh getah mempu­nyai pendapatan yang tinggi pada ketika itu kerana harga bahan komoditi itu melambung tinggi sehingga RM9 sekilogram.

Katanya, memahami kepenti­ngan keperluan perkhidmatan feri dalam menjalankan urusan seharian, mereka menyumbangkan wang tersebut tanpa sebarang masalah.

“Setakat ini, feri tersebut dikendalikan oleh dua pekerja yang memulakan perjalanan seawal pukul 7 pagi, membawa murid sekolah dan guru dengan mengenakan tambang RM1 seorang dan kereta pula RM5 sebuah, pada satu-satu masa mampu membawa lima buah kereta,” katanya.

Beliau berkata, feri itu juga membawa lori yang mengambil getah di kampung tersebut dan lori terlibat dikenakan bayaran RM30 sebuah.