Di bandar ini, serangga herbivor bersayap itu mempunyai pelanggannya yang tersendiri dan belalang mentah yang digaram kunyitkan dijual di Pasar Lama dekat sini.

Bagaimanapun di sebuah wa­rung di Kampung Bukit Awang di sini menyajikan menu istimewa iaitu belalang masak kerutuk untuk dijadikan sebagai juadah sarapan pagi bersama nasi.

Peniaga warung berkenaan, Noriah Zakaria, 51, berkata, pandang sahaja mungkin membangkitkan rasa loya bagi orang yang tidak pernah menikmatinya, namun keenakannya menjadi pelaris warungnya yang turut menjual gulai itik, ayam kampung dan ikan darat.

“Saya mendapat bekalan belalang daripada beberapa pencari serangga itu di sekitar Kampung Gong Kemuning dengan harga RM15 'secupak'. Proses membuang sayap dan kakinya dibuat di rumah.

“Saya memilih untuk memasak belalang dengan resipi kerutuk atas permintaan penduduk di sini yang mendakwa menu berkenaan lebih enak berbanding goreng secara biasa atau berempah,” katanya ketika ditemui di gerainya berhampiran Masjid Air Terjun,dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga Pasar Lama di sini, Bidah Abdullah, 55, berkata, belalang dijual pada harga RM5 untuk 100 gram itu diterimanya daripada pembekal tempatan yang membelinya daripada beberapa penduduk kampung berhampiran.

“Orang 'lama' suka makan belalang, mereka pasti akan datang membeli di pasar ini apabila tiba musimnya kerana belalang se­perti ini bukannya terdapat sepanjang masa.

“Kebanyakan yang datang membeli belalang adalah pelanggan yang sama. Mereka tahu bila tiba musim serangga itu ada di pasaran,” katanya yang berniaga di pasar tersebut sejak lebih 30 tahun lalu.

Penggemar belalang, Zarul Mohd. ­Nasir, 49, berkata, walaupun harga belalang agak tinggi, dia sanggup membelinya kerana menganggap haiwan itu sebagai makanan eksotik bermusim yang paling enak.

“Selain enak, belalang juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri yang memilih daun dan herba untuk dijadikan makanan,” katanya.