Mohamad Mat Adam, 71, sudah lebih 15 tahun meninggalkan dunia pendidikan namun jiwanya sebagai bekas guru masih kuat dengan meneruskan khidmat sukarela membimbing dan berkongsi ilmu dengan rakan peladang untuk berjaya dalam projek penanaman cili.

Menurutnya, projek penanaman cili fertigasi juga menuntut pengusahanya belajar dan me­nimba ilmu bagi membolehkan teknologi baharu dalam pertanian digunakan.

“Saya berusaha menanam cili secara kecil-kecilan bermula pada tahun 2005 dan kapasitinya di­tingkatkan selepas aktif bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang yang merupakan penggerak pengeluaran hasil cili kulai komersial bagi pasaran industri.

“Sehingga kini cili kulai secara fertigasi saya usahakan di atas tanah sendiri seluas satu hektar berhampiran dengan rumah. Saya menanam 4,000 pokok yang secara puratanya kebun ini menghasilkan 150 kilogram cili untuk setiap kutipan.

“Penjagaan yang baik, setiap pokok boleh dikutip hasilnya sebanyak 70 kali,” katanya ketika ditemui di kawasan penanaman cili fertigasi yang diusahakan di sekitar kediamannya di Kampung Gong Guchil dekat sini, baru-baru ini.

Mohamad berkata, bimbingan dan bantuan yang disalurkan oleh PPK Bukit Awang termasuk modal sebanyak RM10,000 bagi memulakan projek penanaman itu pada masa dahulu menyuntik semangat untuk terus berdaya maju sehingga sekarang.

“Saya mempelajari ilmu dan menerima bimbingan yang ber­kaitan. Tiada usaha yang berakhir dengan kegagalan sekiranya kegigihan diletakkan pada tempat yang pertama.

“Saya tidak akan kedekut untuk berkongsi ilmu bagi membolehkan peladang lain turut menikmati limpahan rezeki hasil pengurusan penanaman yang baik,” katanya yang juga Ahli Jemaah Pengarah PPK ter­sebut.

Katanya, peladang cili di ba­wah seliaan PPK Bukit Awang tidak perlu memikirkan strategi pemasaran kerana urusan pembelian diuruskan secara terus kepada syarikat Nestle (M) Sdn. Bhd. oleh PPK tersebut yang memberi ruang kepada peladang untuk menggunakan kaedah terbaik menghasilkan buah cili yang berkualiti.

Mohamad adalah salah seorang peladang daripada 65 peserta projek cili PPK Bukit Awang menerima rebat berjumlah RM9,791 kerana berjaya membekalkan tuaian cili berkualiti sepanjang tahun lepas.