Seorang penduduk, Khairu­ddin Abdullah, 44, berkata, bazar berkenaan yang dikatakan di bawah Perbadanan Kerajaan Nege­ri Kelantan (PKINK) suatu ketika dulu pernah diurus dengan baik.

Bagaimanapun katanya, bazar berkenaan kini terbiar selepas kebanyakan lot tidak lagi disewa kerana dikatakan tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Lokasi itu kini sering dice­roboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam. Malah ia menjadi lokasi persinggahan penagih dan nelayan asing,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Mohammed Ibrahim Mohd. Lazim, 35, pula mendakwa, keadaan tandas awam dan surau juga tidak terurus sehingga tidak boleh dimanfaatkan orang ramai.

“Hasil pengamatan saya mendapati surau dalam keadaan kotor dan tandas dalam keadaan yang tidak terurus. Kedua-dua bangunan ini tidak mempunyai bekalan air.

“Adalah lebih baik pengurusan kawasan ini diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar kemudahan yang sedia ada dapat menjana pulangan yang sepatutnya selain menjadi daya tarikan kepada pengunjung,” katanya.

Mohammed Ibrahim dalam pada itu menambah, Kedai Rak­yat 1Malaysia (KR1M) yang tidak lagi beroperasi sejak tiga bulan lalu turut menyebabkan bazar di Tok Bali kurang dikunjungi ke­cuali pada malam Khamis sahaja.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula dengan perancangan yang lebih berkesan agar bangunan yang dibina itu tidak terbiar dalam tempoh yang panjang tanpa memberi sebarang pendapatan dan keuntungan yang sepatutnya.