Mangsa, Mohd. Arshad Haikal Zamri ditemukan sudah tidak bernyawa oleh ibunya Nana Rozi Hartini Jali, 32, kira-kira pukul 5 pagi semasa wanita itu ingin menyusukannya.

Semasa ditemukan di tempat tidurnya, terdapat kesan gigitan serangga di bahagian tengkuk mangsa sebelum ibunya mengesyaki mangsa maut disengat haiwan berbisa.

Menurut Nana Rozi Hartini, dia sempat bermain dengan anaknya kira-kira pukul 11 malam dan ketika itu bayinya sihat dan ceria malah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit.

“"Pada pukul 1 pagi, saya lihat Mohd. Arshad masih bernyawa dan bergerak ketika hendak tidur dan kami pun tidur seperti biasa di atas katil di dalam bilik.

“Namun, pada pukul 5 pagi apabila saya bangun untuk menyusukan, saya terkejut kerana dia sudah tidak bergerak ketika dikejut. Selepas itu, saya menghantar anak ke Klinik Kesihatan Lundang Paku untuk mendapatkan rawatan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 5.30 pagi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Kata Nana Rozi Hartini, pada mulanya melalui bedah siasat kali pertama pihak perubatan mendapati bayi itu meninggal dunia akibat disengat haiwan berbisa dipercayai lipan.

“Namun, dalam bedah siasat kali kedua yang dibuat di HRPZ II, pihak hospital mendapati anak saya meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.

“Pemeriksaan juga mendapati kesan gigitan di tengkuk anak saya juga adalah berpunca daripada gigitan semut kerana lelehan susu yang diminum,” katanya.

Tambahnya, bayi itu tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengalami jangkitan dan wanita itu reda dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada lima beradik tersebut.

Mayat mangsa dituntut dari Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan dikebumikan di Kampung Kedai Piah di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai mati mengejut.

Habis.