Itulah perasaan yang dialami oleh Haspalila Mohd Tamami, 31, dari Taman Sri Kemumin, Pengkalan Chepa, dekat sini apabila anak bongsu daripada empat beradik, Muhammad Luth Naqeef Al Rayqal Md Hafeeezan, 17 bulan bertarung dengan penyakit itu.

Haspalila berkata, Naqeef dilahirkan secara tidak cukup bulan tetapi dia normal dan tidak disahkan menghidap penyakit itu ketika dilahirkan.

“Ketika umurnya mencecah enam bulan, dia kerap demam dan menangis secara teresak-esak. Saya membawanya ke klinik berdekatan,doktor mengesyakki anak saya menghidap jantung berlubang dan perlu mendapatkan rawatan susulan dengan doktor pakar.

“Saya telah mendapatkan rawatan imbasan ekokardiogram sebanyak dua kali di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Institusi Jantung Negara (IJN) pada tahun lalu.

“Saya perlu membawa Naqeef ke IJN pada 17 April ini bagi menjalani ujian pengimbas tomografi berkomputer (CT scan) dengan kos rawatan mencecah RM7,000,” katanya kepada pemberita di Taman Sri Kemumin, di sini hari ini.

Haspalila yang sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya sejak enam bulan lalu, kini menumpang dirumah emaknya, Mek Som Yusuf,66, bersama abangnya Muhamad Zamri Yunus,43, yang juga menghidap penyakit hati.

Dia juga mempunyai tiga anak yang masih belajar iaitu Nurul Anis Emilia Natasha,16 bersekolah di Sekolah Menengah Kebangasaan (SMK) Pengkalan Chepa; Nurul Aisya Camelia Hafeesya,7, Sekolah Kebangsaan Dato Hashim II dan Muhammad Noh Naufal Al Rayyan, 6, (tadika).

Haspalila berkata, meskipun tidak mempunyai wang bagi menjalani rawatan tapi dia nekad untuk membawa Naqeef ke IJN bulan ini kerana tidak sanggup melihat anak kesayangannya bertahan dengan penyakit kronik itu.

“Saya redha dengan ketentuan Ilahi namun saya akan berusaha supaya Naqeef akan sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain dan akan sembuh daripada penyakit yang dihadapinya, “ ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 153010404895 dan boleh menghubunginya di talian 01116000074. - UTUSAN ONLINE