Impian anak kelahiran Kampung Penambang, di sini itu cukup besar iaitu mahu memperkenalkan batik Kelantan di persada antarabangsa menerusi label sendiri - Ruzz Gahara.

Motif ukiran kayu tradisional, ketam guri menjadi identiti Ruzz Gahara dan percaturan itu menjadi apabila produk tersebut diterima baik golongan artisan fesyen, orang kenamaan dan pembesar negara.

Dalam tempoh 10 tahun, Ruzz Gahara gah mencipta nama di kota-kota utama seperti Miami, New York, Paris, Milan, Budapest, London, Rom, Moscow dan Tokyo.

Menurut Nik Faiz, apa yang dilakukan hari ini, jauh berbeza dengan latar pendidikan yang dia ada iaitu Sarjana Muda Seni Bina daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Ketika di universiti dulu, kecenderungan saya ialah berniaga. Keluarga saya memang pembuat batik. Jadi saya gunakan kelebihan yang ada untuk berniaga batik. Selepas tamat belajar, saya nekad mahu serius dalam dunia perniagaan batik.

“Alhamdulillah, usaha saya ber­­baloi. Saya bangga dapat ha­rum­kan nama Malaysia dan memperkenalkan Kampung Pe­nambang sebagai lokasi pengeluar batik berkualiti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nik Faiz yang kini memiliki tiga rakan niaga utama di Paris, Perancis; Budapest, Hungary dan Tokyo, Jepun memberitahu, pada setiap bulan, batik keluaran Ruzz Gahara akan dihantar secara tetap untuk edaran di negara berkenaan.

Produknya pula terbahagi kepada tiga rangkaian utama iaitu Ra-E, Gahara Label dan Ruzz Gahara yang menyasarkan tiga kelompok pembeli berbeza bermula dengan harga mampu milik, sederhana serta mewah.

Nik Faiz dalam pada itu berkata, dia kini membuat percaturan untuk kembali ke Malaysia dan menubuhkan sebuah kompleks perkampungan ke­senian dipanggil Rumah Gahara yang terletak di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kampung Penambang.

Katanya, Rumah Gahara dibina berdasarkan lima unit utama ia­itu Artisan, Maker Space, Gahara Savior, Aur dan Sira Mas.

“Artisan adalah unit yang me­laksanakan penyelidikan di sam­ping menghasilkan batik dan pe­ngeluar alatan tulen (OEM) untuk syarikat lain.

“Maker Space pula merupakan akademi latihan untuk golongan asnaf seperti ibu tunggal. Golo­ngan ini kita latih kemahiran membuat batik, serta pelbagai lagi cabang keusahawanan yang lain dalam industri kraf,” katanya.

Sementara itu kata Nik Faiz, Gahara Savior pula menjadi pusat jualan produk yang dihasilkan Ruzz Gahara manakala Aur pula merupakan pengurusan yang menyambung empat tonggak lain, di samping menjalankan hubungan strategik dengan pihak luar.

“Siramas pula ialah sebuah unit yang bakal menjadi pusat sehenti pelbagai juadah istimewa Kelantan. Insya-Allah Rumah Gahara ini bakal direalisasikan tahun depan,” katanya.